bintang


Islamic Clock

Isnin, 9 Mei 2011

Kenali Kota belud ( Pekan Koboi)




Latar Belakan Kota Belud

Daerah Kota Belud terletak di Pantai Barat Utara Negeri Sabah, adalah di unjuran kaki Gunung Kinabalu - gunung yang tertinggi di Asia Tenggara, mengarah ke Utara dan lembahnya dibatasi Laut Cina Selatan.

Daerah Kota Belud mempunyai keluasan 1,385.6 km persegi dan terdiri daripada 168 buah kampung. Ia belum lagi termasuk Pekan Nabalu yang kini telah diletakkan dibawah pentadbiran daerah Kota Belud dan di dalam kawasan perkadaran Majlis Daerah Kota Belud.

Daerah Kota Belud dikelililingi beberapa daerah lain yang bersempadan dengannya, seperti Tuaran, Kota Marudu dan Ranau. Kedudukan daerah Kota Belud yang strategik, menjadi persinggahan utama ke daerah-daerah di Bahagian Pantai Barat Utara, seperti Kota Marudu, Pitas, Matunggong, Banggi dan Kudat. Dengan sempurnanya By-pass Kota Belud / Ranau yang melalui di Kawasan N.7 Kadamaian, telah memendekkan dan memberi keselesaan perjalanan ke Ranau tanpa bersusah payah melalui daerah Tuaran mahupun Tamparuli.

BAGAIMANA KOTA BELUD MENDAPAT NAMA

Petikan asal bahasa Kaum Bajau. KOTA bermakna KUBU PERTAHANAN, dan BELUD bermakna BUKIT. Makanya, Kota Belud diertikan sebagai KUBU PERTAHANAN DI ATAS BUKIT.

Menurut cerita dari mulut ke mulut, bahawa pada zaman silam, sebelum adanya badan pemerintah, sering berlaku permusuhan antara kaum dan antara kampung. Demi memperkukuhkan pertahanan masing-masing, mereka terpaksa mencari tempat untuk bertahan daripada serangan musuh. Justeru itu, kaum Bajau telah memilih sebuah bukit sebagai kota (kubu) mereka, dan kubu pertahanan itu, dikenali sebagai Kota Belud. Setelah tibanya zaman pemerintah dan berlaku pembahagian daerah di Negeri Sabah, maka daerah ini dikenali dengan rasminya sebagai daerah Kota Belud. Sejak itu, bukit tersebut yang juga dikenali sebagai Bukit Perintah, telah dibangunkan sebagai Pusat Pentadbiran daerah dan sehingga kini menempatkan beberapa bangunan kerajaan lain, termasuklah bangunan rumah bekas Pegawai Daerah, yang kini telah dijadikan sebahagian dalam kawasan Rekreasi Taman Tun Said.


KOTA BELUD

Daerah Kota Belud terletak di pantai barat utara negeri Sabah, 70 kilometer daripada Kota Kinabalu ibu negeri Sabah, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan kereta. Daerah ini yang turut mendapat jolokan nama sebagai 'Daerah Koboi Timur' kerana kehebatan penduduknya menunggang kuda, kerbau dan lembu.

Nama Kota Belud ini berasal daripada bahasa Bajau, yakni "kota" yang bermaksud kubu pertahanan manakala "belud" pula bermaksud bukit. Justeru itu, Kota Belud diertikan sebagai 'Kubu Pertahanan di atas Bukit'. Kota Belud adalah salah satu daerah di Sabah yang kaya dengan adat dan budaya yang unik dan pelbagai. Pertembungan budaya dan adat berlaku di kalangan penduduk yang sebahagian besarnya adalah komuniti Bajau Muslim dan suku kaum Kadazandusun serta Irranun.
Sehingga ke hari ini Tamu Kota Belud (Tamu hari Ahad) yang dikenali ramai ini masih memainkan peranannya sebagai tempat bagi masyarakat yang berasal daripada pelbagai komuniti untuk bertemu dan berdagang. Pasar mingguan ini menjadi teropong yang memaparkan semua pemandangan, bunyi-bunyian dan bau-bauan setiap kali para peniaga berkumpul untuk menjual hasil keluaran mereka di sini.Daripada tumbuhan hijau sehinggalah kepada kuih-muih tempatan yang enak, para peniaga dengan bangganya mempamerkan barangan mereka untuk menarik para pembeli bertawar-menawar dengan mereka.
Sekali setahun, Kota Belud menjadi hos bagi Tamu Besar – satu acara tahunan yang menarik kunjungan dan penyertaan masyarakat ke daerah ini. Tamu Besar yang bermaksud Pasar Besar atau secara literalnya bermaksud tamu terbesar yang diadakan di seluruh Sabah. Inilah masanya para peniaga keluar beramai-ramai bersama-sama barangan dagangan mereka dan masyarakat tempatan mempamerkan kepelbagaian dan warna-warni budaya Kota Belud. Pemandangan yang semestinya tidak dilepaskan ialah Koboi Timur yakni penunggang kuda Bajau yang menunjukkan kemahiran menunggang kuda bersama-sama kuda yang dihias dengan pakaian yang indah dan berwarna-warni. Masa yang sesuai untuk menyaksikan sendiri sukan tradisi seperti lumba kerbau dan pemahkotaan Ratu Cantik Sarempak/Senisip.

1 ulasan:

penghayatan insan